PeopleCentre

Pemikiran Melayu

Friday, January 14, 2005

Melayu oleh Usman Awang

Melayu oleh Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang 26 NOVEMBER 1999

Thursday, January 13, 2005

8 Prinsip Islam Hadhari

Utusan Malaysia - 26/6/04 Rencana

Prinsip 1 : Syumul, seimbang (wasat) 2:142

Prinsip 2 : Cemerlang (Kayra Ummah) 2:142

Prinsip 3 : Mesra (Salam). (Kepada mereka dikatakan : Salam sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang (Yasin :58)

Prinsip 4: Kreatif, innovatif dan progresif 2: 269

Prinsip 5 : Globat (wahidah) 2:213

Prinsip 6: Ilmu (iqra) al Alaq : 1-5

Prinsip 7 : Modern dan kontemporari.
Digambarkan melalui keagungan tamadun Islam Andadus berserta tokoh-tokoh ilmuan dan cendekiawan seperti Al Khawarismi; ahli matematik yang agung, Ibnu Sasawagh; doktor penemu pakar diet, Al Farghani; ahli astronomi, Tsabit bin Qurrah; ahli geometri; Ar-Razi; doktor penemu penyakit cacar dan darah tinggi; Az Zahrawi; ahli bedah, al-Khazin; ahli matematik, Ibnu Haytham; ahli fizik, al Birumi; tokoh astronomi, Ibnu Sina; doktor dan ramai lagi.

Prinsip 8: Akhlaq
Bahawasanya aku diutuskan Allah untuk menyempurnakan keluluhan akhlaq (budi pekerti) (hadis Riwayat Ahmad)

Sebaik-baik manusia diantara kamu ialah orang yang akhlaqnya baik (Hadis Riwayat Bukhari)


Islam Hadhari ditakrifkan sebagai Islam yang mempunyai sifat-sifat maju, progresif, dinamik dan bertamadun. Islam hadhari bukanlah ajaran baru kerana Islam adalah satu agama yang syumul, agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu.

Malah penggunaan istilah "Hadhari" telah digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya Al Muqaddimah dan pemikir Aljazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah "hadhara" yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlaq dan spiritual.

Ulama besar kontemporari Sheilkh Dr. Yusuf Qardawi juga ada memberi penjelasan tentang Dimensi Hadhari dalam Islam melalui salah satu bukunya Islam Hadhari Cabaran Dalam Kontek Semasa.

Tuesday, January 11, 2005

Apa Yang masih ada Pada Melayu


Apa yang masih ada pada Melayu ? - Salleh Buang
Ambilan daripada Utusan Malaysia 1 Julai 2004, ms 7

Coretan seorang pemikir Melayu, dalam kolum mingguannya di sebuah akhbar tempatan Ahad lalu, menarik perhatian saya. Katanya yang masih ada pada orang Melayu hanya tiga. Satu; kuasa politik, dua; kuasa pentadbiran, dan tiga; institusi kesultanan. Yang sakitnya, mengikut beliau, ketiga-tigaya masih boleh dimanipulasi atau dibeli.

Dulu kita ada akhbar harian bertulisan jawi (skrip asli orang Melayu), tetapi kini sudah tiada ada. Dulu kita ada majalah bulanan tulisan jawi seperti kiblat), kini juga sudah tiada ada.

Sembilan tahun lalu, kita terbitkan MASSA, yang mahukan orang Melayu terus berfikir sambil mengikuti perkembangan semasa. Sedihnya, kini ia juga sudah tiada ada lagi.

Matinya akhbar harian dan majalah tulisan jawi bukan kerana harganya mahal dan tidak mampu dibeli. Ia mati kerana orang Melayu sendiri sudah tidak berminat (atau mungkin kerana langsung tidak boleh membaca jawi. Orang Melayu sudah menjadi buta huruf skrip asalnya sendiri.

Hakikatnya, yang tidak dapat dinafikan lagi, bilangan orang Melayu yang mahir membaca jawi terus berkurangan. Semak sendiri, apakah anak-anak dan cucu kita masih boleh membaca jawi dengan lancar ? Jika tidak boleh baca jawi, tidak mustahillah orang itu juga tidak mampu membaca Quran.

Dalam tahun 70-an lalu, semasa saya masih berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, ada kenalan sekerja yang membawa surah Yasin dalam versi Rumi, kerana katanya dia tidak pandai (tidak yakin) baca versi asal.

Majalah mingguan MASSA berkubur awal Jun lalu bukan kerana orang Melayu malas membaca. Kita tahu ada tabloid harian berbahasa Melayu yang laris dalam pasaran, hingga jualannya melebihi satu juta naskah sehari.

Ini menunjukkan masih ramai orang Melayu yang rajin membaca. Masalahnya bahan bacaan kegemarannya adalah sekadar yang sensasi, hiburan ringan, remeh dan picisan.

Jika bahan bacaannya berat sedikit yang memerlukan pembaca memeras otak, orang Melayu akan menolaknya. Apakah punca sistem pendidikan kita, yang tidak mengajar dan mengalakkan bangsa kita berfikir ?

Jika bahan bacaan ilmiah bahasa Melayu telah pupus, apa lagi yang ada pada orang Melayu ? Masih ada lagi baju Melayu. Itupun dipakai dua kali setahun (Hari Raya Puasa dan Hari Raya adha). Selain itu, ada juga yang memakainya bila hendak kemasjid menunaikan solat Jumaat.

Ada juga kueh Melayu, tetapi itupun sukar dicari dipusat bandar, direstoran besar dan di kompleks perdagangan. Orang Melayu sendiri sudah tidak gemar makan kueh Melayu kecuali barangkali sekali-sekala bila hendak berbuka puasa. Waktu itu, hotel bertaraf lima bintang pun sanggup dan bersedia menyajikannya.

Ada juga tanah rizab Melayu. Itupun, ada sebahagiannya yang sudah jatuh ketangan orang bukan Melayu. Mana yang masih kekal dalam tangan orang Melayu, sebahagiannya tinggal tidak dibangunkan atau dikerjakan. Terbiar begitu sahaja, tampa mendatangkan sebarang hasil bagi pemiliknya, apatah lagi memanfaatkan negara.

Ada juga adat Melayu, yang sudah sejak dulu lagi diiktiraf mahkamah sebagai salah satu daripada sumber undang-undang negara ini. Tetapi itupun sebahagian kecil sahaja, kerana terdapat tiga lagi sumber undang-undang yang lebih berpengaruh.

Memang betul, seperti kata pemikir di atas tadi, orang Melayu masih ada kuasa politiknya dan kuasa pentadbirannya. Soalannya hingga bila? Kita sentiasa diingatkan dengan kata-kata hikmat ini tiada ada sesuatu yang kekal didunia ini kecuali perubahan. Jadi pastinya nanti keadaan akan berubah. Bagaimana jika perubahan bukan kepada yang menjadi lebih baik tetapi menjadi lebih buruk ? Bila kuasa politik sudah terhakis (kerana tidak digandingkan dengan kuasa ekonomi), bila kuasa pentadbiran sudah dilemahkan dengan segala kerenah birokrasi dan rasuah, apa lagi yang masih tinggal pada orang Melayu ?

amai sahabat yang kuatir dan bimbang seruan Perdana Menteri (agar kita menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang) akan tinggal sebagai slogan kosong sahaja tidak mampu diterjemahkan menjadi realiti oleh agensi pelaksana dan pentadbir.

Saya turut khuatir, selagi bangsa Melayu tidak mengamalkan sikap dan budaya yang betul, hasrat murni Perdana Menteri tidak akan kesampaian. Saya selalu mengingatkan pelajar dan sahabat saya jika sesuatu bangsa hendak terus cemerlang, ia hendaklah bersedia mengamalkan tiga perinsip hidup yang amat penting: Jangan berhenti membaca; jangan berhenti menambahkan ilmu dan jangan berhenti meningkatkan diri .


Permikiran Firdaus

Ambilan daripada 29 Mei 2004, Utusan Malaysia ms 7

Merumuskan Senarai Abraham Maslow (Psikologi sosial) dan sarjana sains politik Harold Lasswell menjadi tiga kategori utama (Nilai-nilai yang dikejar atau dikehendaki oleh manusia)

Pertama; kekayaan sumber dan kuasa ekonomi

Kedua; Kekuasaan politik dan kedudukan strategi

Ketiga; Keperkasaan (dominasi) nilai dan kebudayaan

Itulah tiga pilihan utama - politik, ekonomi dan kebudayaan - yang kita kendung dan itulah yang kita kejar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.