PeopleCentre

Pemikiran Melayu

Tuesday, June 21, 2005

Mengapa Melayu Miskin Terus Terpinggir Di bandar

Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Taib Haji Dora

Kampung Melayu jauh ketinggalan dalam arus pembangunan pesat Bandaraya Kuala Lumpur
(Artikel ini diceduk daripada Yayasan Kajian Strategi Melayu (www.yksm.com.my)

PENGENALAN

Artikel ini merupakan satu analisis tentang isu kemiskinan Melayu bandar dengan memfokuskan kepada soal peminggiran yang dialami oleh keluarga Melayu termiskin di Kuala Lumpur. Kedudukan keluarga Melayu termiskin di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur dianggap tidak lebih daripada hanya sebagai kelompok yang berada di pinggiran dalam sektor bandar kerana bandar adalah lambang kemewahan, kekayaan, kemajuan dan taraf hidup yang tinggi. Oleh itu, kewujudan golongan miskin atau termiskin bandar adalah simbol kelompok yang tersingkir atau terpinggir daripada menikmati pembangunan pesat sektor moden berkenaan. Mereka terpinggir daripada mendapat hasil yang lebih tinggi. Akibat daripada keterpinggiran tersebut menyebabkan mereka makin jauh ketinggalan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan dan terus dihimpit kemiskinan. Ini jelas menunjukkan peminggiran dan kemiskinan Melayu bandar saling berkait rapat antara satu sama lain. Hal inilah yang cuba dipaparkan dalam artikel ini.

Faktor-faktor Melayu miskin terpinggir di bandar pada umumnya terdapat beberapa faktor dominan, yang berkait rapat dengan peminggiran Melayu miskin di kawasan bandar. Ini termasuklah faktor pendidikan, faktor pekerjaan, faktor kekurangan mobilisasi di bandar dan juga faktor modal. Faktor-faktor ini saling menyumbang dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi membentuk kitaran peminggiran Melayu miskin di kawasan bandar.

i) Faktor pendidikan:

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa struktur sistem ekonomi pasaran di bandar memerlukan tenaga buruh yang berkelayakan (berpendidikan) dan berkemahiran. Kedua-dua unsur ini merupakan aset penting dalam industrialisasi dan sistem ekonomi pasaran bebas pada hari ini. Sedangkan di kalangan golongan Melayu miskin bandar, kebanyakan mereka mempunyai tahap pendidikan formal yang rendah dan sebilangannya buta huruf. Mereka juga tidak mempunyai latihan kemahiran yang mencukupi untuk menempatkan diri dalam sektor industri di bandar. Oleh sebab itulah ramai yang bekerja sendiri, menyertai ekonomi tak formal dan menganggur. Secara tidak langsung faktor pendidikan yang rendah ini menyebabkan mereka terpinggir daripada berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan pasaran buruh di bandar. Institusi-institusi kerajaan pula kurang memberikan bantuan bagi meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran. Keadaan ini menyebabkan mereka terus terpinggir daripada menerima upah yang tinggi dan ramai yang menjadi penganggur di bandar (lihat misalnya Rodger, 1989; Harriss, 1990; Arjan de Haan, 1995 dan Pulin Nayak, 1995).

ii) Faktor pekerjaan di bandar

Dalam usaha kerajaan bagi merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum dan kawasan, tumpuan yang sama turut diberikan terhadap sektor bandar. Ini termasuklah dalam soal penyusunan semula perindustrian bandar dan hak milik perdagangan (RMK, 1971). Namun, kajian yang dilakukan oleh Mohd Yusof Ismail (1987) mendapati kadar penglibatan dan pemilikan orang Melayu dalam sektor industri dan perdagangan ini masih rendah berbanding kaum lain khususnya Cina. Oleh itu kadar pekerja Melayu yang dikategorikan sebagai 'tidak mahir' masih rendah terutamanya dalam bidang perlombongan dan pembinaan. Hanya pekerja Melayu 'tidak mahir' dalam bidang industri pembuatan yang menunjukkan kadar yang tinggi iaitu 49.6 peratus. Manakala dalam industri perlombongan hanyalah 23.3 peratus dan industri pembinaan sebanyak 29.2 peratus. Ini menunjukkan "...Malay participation even at the lowest level of occupational category is strikingly low" (Mohd. Yusof Ismail, 1987: 383). Data ini menggambarkan tahap penglibatan yang rendah orang Melayu di bandar dalam sektor industri dan perdagangan. Dalam hal ini, keluarga Melayu termiskin bandar merupakan potensi sumber manusia dalam kategori pekerja tidak mahir kerana kekurangan pendidikan dan latihan. Sekiranya data tadi diambilkira, bermakna penyertaan keluarga Melayu termiskin dalam kedua-dua sektor ini masih rendah. Oleh itu mereka ini masih terpinggir daripada menyertai pasaran buruh yang lebih baik di kawasan bandar.

Bukti yang dapat dikaitkan dengan peminggiran keluarga termiskin bandar dalam pasaran buruh ini adalah berdasarkan kajian penulis ke atas 744 ketua keluarga Melayu miskin di Kuala Lumpur mendapati ramai di kalangan mereka berada dalam sektor ekonomi tak formal atau pekerjaan yang tidak memberikan pendapatan yang tinggi. Sebanyak 25.3 peratus daripadanya masih menganggur atau tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sebanyak 32.3 peratus berada dalam sektor ekonomi tak formal atau bekerja sendiri seperti berniaga kecil-kecilan dan mengambil upah. Hanya 31.6 peratus bekerja di sektor swasta sebagai pekerja kilang, buruh binaan, penghantar surat dan pembantu di kedai atau restoran. Manakala seramai 10.8 peratus lagi bekerja di sektor kerajaan sebagai pemandu, tukang kebun ataupun pekerja am.

Analisis dari aspek pekerjaan ini jelas menunjukkan kelompok ini tidak terserap dalam sistem ekonomi pasaran dan pasaran buruh yang lebih menguntungkan di bandar. Mereka kekurangan dalam aspek pendidikan dan latihan kemahiran yang sesuai bagi sebuah masyarakat moden sepertimana pendapat (Weinberg, 1970: 118) 'The automated technology of our society requires skill and education'. Kegagalan mereka menempatkan diri dalam sektor ekonomi moden di bandar telah meningkatkan pula perasaan kekecewaan dan sikap bergantung pada bantuan kerajaan. Faktor sikap dan moral inilah yang sering dikaitkan dengan kemiskinan di kawasan bandar sepertimana yang dikemukakan oleh teori Budaya Miskin (Oscar Lewis, 1959; 1966; 1970), teori Tangle of Pathology (Moynihan, 1965), teori Cultural Deprivation (Riessman, 1962) dan teori Lower Class (Banfield, 1958). Sebenarnya bukanlah faktor sikap dan budaya mereka yang menyebabkan kemiskinan. Sikap dan budaya itu timbul akibat daripada manifestasi kegagalan mereka menembusi berbagai-bagai halangan yang menyekat peluang ekonomi di bandar (Harrington, 1962). Mereka bersikap sedemikian kerana dipinggirkan daripada berbagai-bagai peluang yang wujud di bandar terutamanya dalam sektor industri. Oleh itu, keadaan ini sebenarnya adalah juga merujuk kepada kegagalan institusi-institusi kerajaan memberikan mereka bantuan dalam sektor industri di bandar. Bentuk bantuan tersebut sama ada dalam bentuk latihan kemahiran ataupun pinjaman modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ini bertepatan sekali dengan pandangan klasik Titmus (1958) yang mengatakan:

The problem of poverty is not a problem of individual character but the problem of economic and industrial organisation. It has to be studied at its source and only secondly in its manifestations (Titmuss, 1958: 18).
iii) Kekurangan mobilisasi dalam pasaran buruh

Sistem ekonomi kapitalis yang menjadi nadi penggerak pembangunan di bandar dan negara ini juga tidak memberikan banyak ruangan mobilisasi kepada keluarga Melayu termiskin dari luar bandar. Akibatnya kadar pengangguran di kalangan kelompok ini agak tinggi di bandar kerana mereka juga menghadapi banyak sekatan peluang dalam pasaran buruh. Misalnya ILO Philippines mengatakan: Exclusion in the labour market manifests itself not only in terms of open unemployment but is also evident in the way which certain population groups face restricted options within the labour market. Informalization of the labour markets results when a considerable number of the workforce are excluded from the mainstream of activities in the formal labour market (ILO Philippine, ILO, 1995: 20).

Oleh itu, sistem ekonomi bandar itu sendiri tidak memberikan ruang yang luas kepada keluarga termiskin dalam pasaran ekonomi bebas serta pasaran buruh yang lebih menguntungkan. Peminggiran daripada ekonomi pasaran bebas dan pasaran buruh di bandar ini menyebabkan keluarga termiskin tertumpu ke sektor tak formal. Kebanyakan dalam negara Dunia Ketiga, pekerjaan di sektor tak formal ini telah menarik ramai penduduk bandar dari strata bawahan yang kekurangan kelayakan akademik formal bagi memasuki pasaran buruh. Aktiviti sektor tak formal telah memainkan peranan penting mengurangkan masalah pengangguran di bandar (Mohd. Fauzi Yaacob, 1995: 140). Ini terutamanya bagi golongan migran dari luar bandar. Golongan migran ini pula telah membawa kewujudan konsep marginal di kawasan bandar, sepertimana dinyatakan oleh Needler (1970) bahawa migrasi dari luar bandar ke bandar hanya membawa kepada konsep indegenous people to marginal people. Mereka menjadi marginal kepada kegiatan ekonomi bandar. Marginaliti telah meningkatkan kekecewaan dan status moral yang rendah. Oleh sebab itulah mereka lebih banyak berada dalam sektor ekonomi tak formal. Hanya sektor ini sahaja yang mampu menempatkan kelompok miskin yang kurang kualiti tadi dalam sektor industri di bandar. Kelompok termiskin bandar tidak mendapat keselamatan sosial yang secukupnya daripada polisi pembangunan bandar yang ada. Dalam erti kata lain, mereka tidak diberikan peluang yang sama seperti kelompok lain bagi mendapatkan taraf hidup yang lebih baik (Moynihan, 1965).

iv) Faktor modal

Struktur kapitalisme yang mendominasi sistem ekonomi bandar turut mensyaratkan modal sebagai teras memulakan sesuatu projek sosioekonomi. Bagi keluarga termiskin, modal adalah sesuatu yang amat sukar diperolehi. Malah kajian Ishak Shari (1985) misalnya, telah membuktikan betapa kekurangan modal telah menyebabkan golongan miskin menjadi semakin miskin dan bergantung pada orang lain. Untuk mendapatkan modal melalui pinjaman bank memerlukan penjamin dan cagaran. Walau bagaimanapun kedua-dua (penjamin dan cagaran) ini sememangnya sukar diadakan oleh golongan miskin. Selain itu mereka terpaksa pula menyediakan kertas kerja dan sebagainya. Tambahan pula terdapat karenah birokrasi dan berbagai-bagai red tape yang berkaitan dengan pinjaman berkenaan.

Dalam konteks modal ini, institusi-institusi bantuan yang ada seperti Baitulmal, JKM dan KEMAS; tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk menyediakan kemudahan pinjaman. Pinjaman modal diberikan hanya untuk projek perniagaan kecil-kecilan seperti yang dilakukan oleh JKM. Di bawah skim Bantuan Geran Pelancaran, JKM memberikan pinjaman modal sehingga takat RM3,000 bagi keluarga termiskin memulakan sesuatu projek sosioekonomi. Namun disebabkan peruntukan yang terhad, JKM tidak mampu memberikan lebih banyak pinjaman modal kepada lebih ramai keluarga termiskin. KEMAS pula langsung tidak mempunyai skim khusus bagi pinjaman modal kepada keluarga termiskin. Institusi ini hanya menyediakan beberapa projek sosioekonomi untuk disertai oleh keluarga termiskin seperti Projek Ternakan Ikan Keli dan Industri Kampung. Jadi soal pinjaman modal juga merupakan satu lagi faktor peminggiran yang menyebabkan mereka terus berada dalam keadaan daif dari semasa ke semasa tanpa dapat menambah pendapatan melalui projek-projek yang lebih komersil. Sekiranya terdapat institusi khusus di bandar memberikan pinjaman modal seperti yang dijalankan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, keadaan sebaliknya mungkin berlaku. Amanah Ikhtiar Malaysia telah membuktikan kejayaan yang memberangsangkan di luar bandar. Pinjaman yang diberikan tanpa faedah, tanpa penjamin dan bayaran mingguan yang kecil telah dapat mengatasi masalah kekurangan modal dan meringankan bebanan golongan miskin di luar bandar (Mohd. Taib Hj. Dora, 1993).

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan huraian tadi, jelas menunjukkan bahawa peminggiran keluarga Melayu miskin bandar adalah disebabkan faktor-faktor kekurangan atau ketiadaan pembangunan manusia (human development) itu sendiri. Ini kerana aktiviti kehidupan di bandar khususnya dalam bidang ekonomi memerlukan kreativiti dan inovasi. Oleh itu, pembangunan diri atau self-reliance di kalangan golongan miskin merupakan salah satu unsur utama dalam program pembangunan manusia. Ini bukan sahaja bagi mengatasi putaran kemiskinan yang dialami, malah mengelakkan golongan termiskin ini dari terus terpinggir daripada terlibat dalam proses pembangunan negara sepertimana pandangan Chamhuri Siwar (1994: 92), bahawa The strategy (self-reliance programmes) should emphasise increased participation of the poor in self-reliant income generating projects to increase employment and productivity. The project must be directed towards building their capabilities and be sustainable. Human development involved attitudinal change, community development, encouraging self-help and diligence. The strategy adopts diversification of economic employment and opportunities....