PeopleCentre

Pemikiran Melayu

Tuesday, June 21, 2005

Mengapa Melayu Miskin Terus Terpinggir Di bandar

Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Taib Haji Dora

Kampung Melayu jauh ketinggalan dalam arus pembangunan pesat Bandaraya Kuala Lumpur
(Artikel ini diceduk daripada Yayasan Kajian Strategi Melayu (www.yksm.com.my)

PENGENALAN

Artikel ini merupakan satu analisis tentang isu kemiskinan Melayu bandar dengan memfokuskan kepada soal peminggiran yang dialami oleh keluarga Melayu termiskin di Kuala Lumpur. Kedudukan keluarga Melayu termiskin di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur dianggap tidak lebih daripada hanya sebagai kelompok yang berada di pinggiran dalam sektor bandar kerana bandar adalah lambang kemewahan, kekayaan, kemajuan dan taraf hidup yang tinggi. Oleh itu, kewujudan golongan miskin atau termiskin bandar adalah simbol kelompok yang tersingkir atau terpinggir daripada menikmati pembangunan pesat sektor moden berkenaan. Mereka terpinggir daripada mendapat hasil yang lebih tinggi. Akibat daripada keterpinggiran tersebut menyebabkan mereka makin jauh ketinggalan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan dan terus dihimpit kemiskinan. Ini jelas menunjukkan peminggiran dan kemiskinan Melayu bandar saling berkait rapat antara satu sama lain. Hal inilah yang cuba dipaparkan dalam artikel ini.

Faktor-faktor Melayu miskin terpinggir di bandar pada umumnya terdapat beberapa faktor dominan, yang berkait rapat dengan peminggiran Melayu miskin di kawasan bandar. Ini termasuklah faktor pendidikan, faktor pekerjaan, faktor kekurangan mobilisasi di bandar dan juga faktor modal. Faktor-faktor ini saling menyumbang dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi membentuk kitaran peminggiran Melayu miskin di kawasan bandar.

i) Faktor pendidikan:

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa struktur sistem ekonomi pasaran di bandar memerlukan tenaga buruh yang berkelayakan (berpendidikan) dan berkemahiran. Kedua-dua unsur ini merupakan aset penting dalam industrialisasi dan sistem ekonomi pasaran bebas pada hari ini. Sedangkan di kalangan golongan Melayu miskin bandar, kebanyakan mereka mempunyai tahap pendidikan formal yang rendah dan sebilangannya buta huruf. Mereka juga tidak mempunyai latihan kemahiran yang mencukupi untuk menempatkan diri dalam sektor industri di bandar. Oleh sebab itulah ramai yang bekerja sendiri, menyertai ekonomi tak formal dan menganggur. Secara tidak langsung faktor pendidikan yang rendah ini menyebabkan mereka terpinggir daripada berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan pasaran buruh di bandar. Institusi-institusi kerajaan pula kurang memberikan bantuan bagi meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran. Keadaan ini menyebabkan mereka terus terpinggir daripada menerima upah yang tinggi dan ramai yang menjadi penganggur di bandar (lihat misalnya Rodger, 1989; Harriss, 1990; Arjan de Haan, 1995 dan Pulin Nayak, 1995).

ii) Faktor pekerjaan di bandar

Dalam usaha kerajaan bagi merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum dan kawasan, tumpuan yang sama turut diberikan terhadap sektor bandar. Ini termasuklah dalam soal penyusunan semula perindustrian bandar dan hak milik perdagangan (RMK, 1971). Namun, kajian yang dilakukan oleh Mohd Yusof Ismail (1987) mendapati kadar penglibatan dan pemilikan orang Melayu dalam sektor industri dan perdagangan ini masih rendah berbanding kaum lain khususnya Cina. Oleh itu kadar pekerja Melayu yang dikategorikan sebagai 'tidak mahir' masih rendah terutamanya dalam bidang perlombongan dan pembinaan. Hanya pekerja Melayu 'tidak mahir' dalam bidang industri pembuatan yang menunjukkan kadar yang tinggi iaitu 49.6 peratus. Manakala dalam industri perlombongan hanyalah 23.3 peratus dan industri pembinaan sebanyak 29.2 peratus. Ini menunjukkan "...Malay participation even at the lowest level of occupational category is strikingly low" (Mohd. Yusof Ismail, 1987: 383). Data ini menggambarkan tahap penglibatan yang rendah orang Melayu di bandar dalam sektor industri dan perdagangan. Dalam hal ini, keluarga Melayu termiskin bandar merupakan potensi sumber manusia dalam kategori pekerja tidak mahir kerana kekurangan pendidikan dan latihan. Sekiranya data tadi diambilkira, bermakna penyertaan keluarga Melayu termiskin dalam kedua-dua sektor ini masih rendah. Oleh itu mereka ini masih terpinggir daripada menyertai pasaran buruh yang lebih baik di kawasan bandar.

Bukti yang dapat dikaitkan dengan peminggiran keluarga termiskin bandar dalam pasaran buruh ini adalah berdasarkan kajian penulis ke atas 744 ketua keluarga Melayu miskin di Kuala Lumpur mendapati ramai di kalangan mereka berada dalam sektor ekonomi tak formal atau pekerjaan yang tidak memberikan pendapatan yang tinggi. Sebanyak 25.3 peratus daripadanya masih menganggur atau tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sebanyak 32.3 peratus berada dalam sektor ekonomi tak formal atau bekerja sendiri seperti berniaga kecil-kecilan dan mengambil upah. Hanya 31.6 peratus bekerja di sektor swasta sebagai pekerja kilang, buruh binaan, penghantar surat dan pembantu di kedai atau restoran. Manakala seramai 10.8 peratus lagi bekerja di sektor kerajaan sebagai pemandu, tukang kebun ataupun pekerja am.

Analisis dari aspek pekerjaan ini jelas menunjukkan kelompok ini tidak terserap dalam sistem ekonomi pasaran dan pasaran buruh yang lebih menguntungkan di bandar. Mereka kekurangan dalam aspek pendidikan dan latihan kemahiran yang sesuai bagi sebuah masyarakat moden sepertimana pendapat (Weinberg, 1970: 118) 'The automated technology of our society requires skill and education'. Kegagalan mereka menempatkan diri dalam sektor ekonomi moden di bandar telah meningkatkan pula perasaan kekecewaan dan sikap bergantung pada bantuan kerajaan. Faktor sikap dan moral inilah yang sering dikaitkan dengan kemiskinan di kawasan bandar sepertimana yang dikemukakan oleh teori Budaya Miskin (Oscar Lewis, 1959; 1966; 1970), teori Tangle of Pathology (Moynihan, 1965), teori Cultural Deprivation (Riessman, 1962) dan teori Lower Class (Banfield, 1958). Sebenarnya bukanlah faktor sikap dan budaya mereka yang menyebabkan kemiskinan. Sikap dan budaya itu timbul akibat daripada manifestasi kegagalan mereka menembusi berbagai-bagai halangan yang menyekat peluang ekonomi di bandar (Harrington, 1962). Mereka bersikap sedemikian kerana dipinggirkan daripada berbagai-bagai peluang yang wujud di bandar terutamanya dalam sektor industri. Oleh itu, keadaan ini sebenarnya adalah juga merujuk kepada kegagalan institusi-institusi kerajaan memberikan mereka bantuan dalam sektor industri di bandar. Bentuk bantuan tersebut sama ada dalam bentuk latihan kemahiran ataupun pinjaman modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ini bertepatan sekali dengan pandangan klasik Titmus (1958) yang mengatakan:

The problem of poverty is not a problem of individual character but the problem of economic and industrial organisation. It has to be studied at its source and only secondly in its manifestations (Titmuss, 1958: 18).
iii) Kekurangan mobilisasi dalam pasaran buruh

Sistem ekonomi kapitalis yang menjadi nadi penggerak pembangunan di bandar dan negara ini juga tidak memberikan banyak ruangan mobilisasi kepada keluarga Melayu termiskin dari luar bandar. Akibatnya kadar pengangguran di kalangan kelompok ini agak tinggi di bandar kerana mereka juga menghadapi banyak sekatan peluang dalam pasaran buruh. Misalnya ILO Philippines mengatakan: Exclusion in the labour market manifests itself not only in terms of open unemployment but is also evident in the way which certain population groups face restricted options within the labour market. Informalization of the labour markets results when a considerable number of the workforce are excluded from the mainstream of activities in the formal labour market (ILO Philippine, ILO, 1995: 20).

Oleh itu, sistem ekonomi bandar itu sendiri tidak memberikan ruang yang luas kepada keluarga termiskin dalam pasaran ekonomi bebas serta pasaran buruh yang lebih menguntungkan. Peminggiran daripada ekonomi pasaran bebas dan pasaran buruh di bandar ini menyebabkan keluarga termiskin tertumpu ke sektor tak formal. Kebanyakan dalam negara Dunia Ketiga, pekerjaan di sektor tak formal ini telah menarik ramai penduduk bandar dari strata bawahan yang kekurangan kelayakan akademik formal bagi memasuki pasaran buruh. Aktiviti sektor tak formal telah memainkan peranan penting mengurangkan masalah pengangguran di bandar (Mohd. Fauzi Yaacob, 1995: 140). Ini terutamanya bagi golongan migran dari luar bandar. Golongan migran ini pula telah membawa kewujudan konsep marginal di kawasan bandar, sepertimana dinyatakan oleh Needler (1970) bahawa migrasi dari luar bandar ke bandar hanya membawa kepada konsep indegenous people to marginal people. Mereka menjadi marginal kepada kegiatan ekonomi bandar. Marginaliti telah meningkatkan kekecewaan dan status moral yang rendah. Oleh sebab itulah mereka lebih banyak berada dalam sektor ekonomi tak formal. Hanya sektor ini sahaja yang mampu menempatkan kelompok miskin yang kurang kualiti tadi dalam sektor industri di bandar. Kelompok termiskin bandar tidak mendapat keselamatan sosial yang secukupnya daripada polisi pembangunan bandar yang ada. Dalam erti kata lain, mereka tidak diberikan peluang yang sama seperti kelompok lain bagi mendapatkan taraf hidup yang lebih baik (Moynihan, 1965).

iv) Faktor modal

Struktur kapitalisme yang mendominasi sistem ekonomi bandar turut mensyaratkan modal sebagai teras memulakan sesuatu projek sosioekonomi. Bagi keluarga termiskin, modal adalah sesuatu yang amat sukar diperolehi. Malah kajian Ishak Shari (1985) misalnya, telah membuktikan betapa kekurangan modal telah menyebabkan golongan miskin menjadi semakin miskin dan bergantung pada orang lain. Untuk mendapatkan modal melalui pinjaman bank memerlukan penjamin dan cagaran. Walau bagaimanapun kedua-dua (penjamin dan cagaran) ini sememangnya sukar diadakan oleh golongan miskin. Selain itu mereka terpaksa pula menyediakan kertas kerja dan sebagainya. Tambahan pula terdapat karenah birokrasi dan berbagai-bagai red tape yang berkaitan dengan pinjaman berkenaan.

Dalam konteks modal ini, institusi-institusi bantuan yang ada seperti Baitulmal, JKM dan KEMAS; tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk menyediakan kemudahan pinjaman. Pinjaman modal diberikan hanya untuk projek perniagaan kecil-kecilan seperti yang dilakukan oleh JKM. Di bawah skim Bantuan Geran Pelancaran, JKM memberikan pinjaman modal sehingga takat RM3,000 bagi keluarga termiskin memulakan sesuatu projek sosioekonomi. Namun disebabkan peruntukan yang terhad, JKM tidak mampu memberikan lebih banyak pinjaman modal kepada lebih ramai keluarga termiskin. KEMAS pula langsung tidak mempunyai skim khusus bagi pinjaman modal kepada keluarga termiskin. Institusi ini hanya menyediakan beberapa projek sosioekonomi untuk disertai oleh keluarga termiskin seperti Projek Ternakan Ikan Keli dan Industri Kampung. Jadi soal pinjaman modal juga merupakan satu lagi faktor peminggiran yang menyebabkan mereka terus berada dalam keadaan daif dari semasa ke semasa tanpa dapat menambah pendapatan melalui projek-projek yang lebih komersil. Sekiranya terdapat institusi khusus di bandar memberikan pinjaman modal seperti yang dijalankan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, keadaan sebaliknya mungkin berlaku. Amanah Ikhtiar Malaysia telah membuktikan kejayaan yang memberangsangkan di luar bandar. Pinjaman yang diberikan tanpa faedah, tanpa penjamin dan bayaran mingguan yang kecil telah dapat mengatasi masalah kekurangan modal dan meringankan bebanan golongan miskin di luar bandar (Mohd. Taib Hj. Dora, 1993).

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan huraian tadi, jelas menunjukkan bahawa peminggiran keluarga Melayu miskin bandar adalah disebabkan faktor-faktor kekurangan atau ketiadaan pembangunan manusia (human development) itu sendiri. Ini kerana aktiviti kehidupan di bandar khususnya dalam bidang ekonomi memerlukan kreativiti dan inovasi. Oleh itu, pembangunan diri atau self-reliance di kalangan golongan miskin merupakan salah satu unsur utama dalam program pembangunan manusia. Ini bukan sahaja bagi mengatasi putaran kemiskinan yang dialami, malah mengelakkan golongan termiskin ini dari terus terpinggir daripada terlibat dalam proses pembangunan negara sepertimana pandangan Chamhuri Siwar (1994: 92), bahawa The strategy (self-reliance programmes) should emphasise increased participation of the poor in self-reliant income generating projects to increase employment and productivity. The project must be directed towards building their capabilities and be sustainable. Human development involved attitudinal change, community development, encouraging self-help and diligence. The strategy adopts diversification of economic employment and opportunities....

Wednesday, April 06, 2005

2. Fikirkan dan Bersyukurlah daripada Buku La Tahzan

2. Fikirkan dan Bersyukurlah

Fikirkan dan bersyukurlah, ertinya ingatlah setiap nikmat yang Allah anugerahkan kepada kamu. Kerana Allah telah mengandakan nikmatNya dari hujung rambut sehingalah ke bawah tapak kedua kaki.

Kesihatan badan, keamanan negara, makan minum yang mencukupi, air dan udara, semuanya tersedia dalam hidup kita. Namun begitu, kamu memiliki dunia, tetapi tidak pernah menyedarinya. Kamu menguasai kehidupan tetapi tidak pernah mengetahuinya.

Kamu mempunyai sepasang mata, satu lidah, dua ulas bibir, dua pasang tangan dan dua pasang kaki.

Adakah kemu mengira bahawa, berjalan dengan menggunakan kedua-dua kaki itu suatu yang remeh, sedangkan kaki mudah sahaja menjadi bengkak apabila digunakan berjalan terus menerus tampa berhenti ? Adakah kamu mengira berdiri tegak di atas kedua betis itu suatu yang mudah, sedangakan kedua-dua betis itu boleh sahaja tidak kuat dan mudah patah.

Sedarilah, betapa lemahnya diri kita semasa tertidur lelap, sedangkan orang lain yang berada di sekitar kita masih ramai yang tidak boleh melenyapkan mata kerana diganggu oleh kesakitan. Pernahkah anda merasa beruntung dapat memakan makanan yang lazat dan minuman ketika ramai orang lain tidak dapat makan dan minum kerana sakit ?

Cuba fikirkan, betapa besarnya fungsi pendengaran yang dengannya Allah menjauhkan anda daripada pekak. Cuba renungkan dan raba kembali mata anda yang tidak buta. Lihatlah kulit anda yang bebas daripada penyakit kusta dan sopak. Renunglah betapa takjubnya fungsi otak anda yang selalu sehat dan terhindar daripada penyakit gila yang menghinakan.

Adakah anda ingin menukar mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud atau menjual pendengaran anda dengan perak sebesar bukit ? Adakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan ganti lidah anda, walaupun sudah tentu pertukaran ini menjadikan anda bisu. Adakah anda mahu ditukar dengan kedua tangan anda dengan untaian mutiara, sementara tangan anda dikudungkan.

Begitulah, sebenarnya anda berada dalam kenikmatan yang tiada taranya dan kesempurnaan tubuh, tetapi anda tidak menyedarinya. Anda tetap merasa resah, sedih dan gelisah, meskipun anda masih mempunyai nasi yang panas untuk dimakan, air segar untuk diteguk, waktu yang tenang untuk tidur puas dan kesihatan untuk teruskan aktiviti anda.

Anda selau benar memikirkan suatu yang tidak ada, sehingga anda lupa mensyukuri suatu yang sudah ada. Jiwa anda mudah terguncang hanya kerana kerugian materi yang mendera. Padahal, sesungguhnya anda masih memegang kunci kebahgiaan, memiliki jambatan bagi menuju kebahagiaan, kurniaan, kenikmatan dan sebagainya. Maka fikirlah semua itu dan kemudian bersyukurlah!

Fikirkan dan renungilah apa yang ada pada diri, keluarga, rumah, pekerjaan, kesihatan dan apa sahaja yang tersedia di sekeliling anda Dan jangan termasuk dikalangan orang yang mengingkari nikmat Allah ke atasnya.

Monday, April 04, 2005

Ya Allah

Ya Allah! (dari buku La Tahsan)

Ketika laut bergelora, ombak menggunung dan angin bertiup kencang menerjang, semua penumpang kapal akan takut dan gementar seraya menyeru: “Ya Allah!”

Ketika tersesat di tengah padang pasir, kenderaan menyimpang jauh dari jalannya, dan para kafilah bingung dalam penentukan arah perjalanannya, mereka akan menyeru : “Ya Allah!”

Ketika musibah menimpa, bencana melanda, dan tragedi terjadi, mereka yang tertimpa bencana itu akan selalu berseru: “Ya Allah!”.

Ketika pintu-pintu permintaan tertutup, dan tabir-tabir permohonan dibiarkan melayang tampa penghujung, orang akan merintih: “Ya Allah !”

Ketika semua cara gagal menyelesaikan masalah, setiap jalan yang dituruti terasa menyimpit, harapan terputus, dan semua jalan pintas membuntu, mereka pun akan menyeru :“Ya Allah!”.

Ketika bumi terasa sempit kerana himpitan persolan kehidupan dan jiwa terasa tertekan oleh berat bebanan kehidupan yang harus dipikul, anda akan menyeru : “Ya Allah!”.

Ku ingat engkau saat alam begitu gelap gulita
Dan wajah zaman berlumuran debu hitam
Ku sebut nama-Mu dengan lantang di saat fajar menjelang
Dan fajar pun merekah
Seraya menebar senyuman indah.

Setiap ucapan yang baik, doa yang tulus ikhlas, rintihan yang jujur, air mata yang menitis penuh dengan keikhlasan dan keluh-kesah yang mengundah-gelana hati, hanya pantas ditujukan ke hadiratNya.

Setiap hari sebelum subuh menjelang, kedua telapak tangan diangkat, lengan dihulur dengan penuh harapan dan arahkan terus tatapan matamu ke arahNya untuk memohon pertolongan. Ketika lidah bergerak, tiada lain hanya untuk menyebut, mengingati dan berzikir dengan menggunakan namaNya. Begitulah hati akan menjadi tenang, jiwa akan damai, urat saraf tidak lagi menegang dan iman kembali berkobar-kobar. Demikianlah, dengan selalu menyebut namaNya , keyakinan akan semangkin mengukoh.

Kerana.

Allah: nama yang paling bagus, susunan huruf yang paling indah, ungkapan yang paling tulus dan kata-kata yang sangat berharga.

Allah : Miliknya semua kekayaan, keabadian, kekuatan, pertolongan, kemuliaan, kemampuan dan hikmah.

Allah : Daripadanya semua kasih saying, perhatian, pertolongan, bantuan, cinta dan kebajikan.

Allah; Pemilik segala keagungan, kemuliaan, kekuatan dan keperkasaan.

Ya Allah, gantikan kepedihan ini dengan kesenangan, jadikanlah kesedihan itu awal kebahgiaan dan hindarilah rasa takut ini menjadi rasa tenteram.

Ya Allah dinginkan kepanasan kalbu ini dengan salju keyakinan dan padamkanlah bara jiwa ini dengan air keimanan.

Wahai Rabb, anugerahkan kepada mata yang tak dapat terpejam ini rasa ngantuk yang mententeramkan. Siramkan dalam jiwa yang bergelak ini dengan kedamaian dan ganjarilah dengan kemenangan yang nyata.

Wahai Rabb, tunjukkanlah pandangan yang kebingungan ini kepada CahayaMu. Bimbinglah sesatnya perjalanan ini ke arah jalanMu yang lurus dan tuntunlah orang yang menyimpang dari jalanMu merapat kehidayahMu.

Ya Allah, hindarilah keraguan terhadap fajar yang pasti akan datang dan memancarkan cahaya terang, hancurkanlah perasaan yang jahat ini dengan secubis sinar kebenaran. Patahkanlah semua tipu daya setan dengan bantuan bala tenteraMu.

Ya Allah, hindarilah dari kami rasa sedih, luka dan usirlah kegundahan dari jiwa kami semua.

Kami berlindung kepadaMu dari setiap rasa takut yang mendera. Hanya kepadaMu kamu bersandar dan bertawakal. Hanya kepadaMu kami memohon, dan hanyalah dari Mulah semua pertolongan. Cukuplah Engkau sebagai Pelindung kami, kerana Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan Penolong.

Monday, March 14, 2005

Ambalat

Isu terbaru yang menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia adalah isu AMBALAT. Pada tahun 1999 Indonesia telah menganugerahkan blok Ambalat kepada firma Eni Ambalat Ltd dan Unocal Indonesia pada Desember 2004. Pada 16 Februari 2005 Petronas dan Shell Malaysia menandatangani 2 Production Sharing contracts (PSCs) ke atas blok ND6 dan ND7 lebih kurang 150 km daripada Tawau yang kelihatannya bertindih dengan blok-blok yang telah dikurniakan oleh Indonesia

Konsensi yang diberikan oleh Malaysia telah mengundang riaksi yang keras daripada pemerintah Indonesia dan rakyatnya yang berpegang kepada fakta sejarah yang daerah ini sebahagian daripada kesultanan Bulungan. Dakwaan Malaysia pula berasakan kepada Peta tahun 1979 dan tambahan sempadan berikutan kemasukan Sipadan dan Ligitan.


Menurut Andi Arsana dalam http://madeandi.blogspot.com/ Indonesia masih belum hilang lukanya dengan kehilangan pulau Sipadan dan Ligitan ke tangan Malaysia dan sekarang ini Malaysia cuba merebut wilayah lain yang diyakini sebagai wilayah Indonesia.

Bagaimana pun Andi Arsana merasai bahawa pilihan untuk membawa kes ini ke International Court of Justice tidak dapat di cadangkan memandangkan :

Pertama; Kes makamah seperti ini akan mengambil masa 4 atau 5 tahun. Ertinya ianya akan memakan biaya yang banyak (Hasan Wirajuda dalam majalah Tempo, 23 Disember 2003 menganggarkan biaya untuk menyelesaikan kes Sipadan dan Ligitan mencapai Rp 16 Milyar.

Kedua; Pengadilan kadang-kadang memberi keputusan yang mengejutkan seperti kes yang pernah terjadi sebelum ini. dan akhirnya.

Kadang-kadang keputusan kehakiman memberi keputusan yang kabur dan sulit difahami.

Bagi Andi Arsana bukti sejarah sahaja tidak cukup dijadikan pegangan; buktinya terlepasnya Sipadan dan Ligitan disebabkan bukti hukum menunjukan Indonesia tidak dengan bersungguh-sungguh secara pentadbiran mentadbir keatas daerah-daerah yang dipersoalkan ia itu dengan memberi pajak pada penduduk setempat atau mengeluarkan peraturan-peraturan tempatan keatas wilayah-wilayah yang dipersoalkan. Dalam kes Sepadan dan Ligitan pembinaan resort-resort oleh Malaysia adalah satu kekuatan yang akhirnya memenangkan Malaysia.

Monday, February 28, 2005

The Important Changes in economy in the last century

In the last century various forms of economy around the globe pay their way to embraced by the people. Soon, at least in the second half of the last century economy forces divided the world into communism and capitalist. But the end of the last century start the most economic change - the communism revolution leading to dictatorial communism, and stop at the most important shift in our society today the shift from democratic capitalism to what we see currently happening in the George Bush-Tony Blair era, dictatorial capitalism.

When Karl Marx champion for a poletarian revolution to end all exploitation and demanded the dictatorship of the common people and the workers, he surely wanted to lay foundation for the greatest human democratic society. The ultimate goal of democracy is to remove exploitation of man by man in a given society. Unfortunately all the balanced sheet of this history movement end up in the negative because the way these economies sock the basic democratic right of human existance. Oppressed people could not take it any more and rebelled in millions to overthrow the dictatorial communist regime. Any society which curbs the freedom of expression of its members is bound to face an uprisal.

That the dictatorial communist regimes would finally be overthrown was but a question of time, China is changing rapidly and again it will be a matter of time before it gradually becomes a democracy. However since 1991 (the year when the mighty USSR collapsed) something more shocking has been taking place. Dictatorship, instead of being on its way out, is showing a worse and ugly revival in capitalist economies, which pride themselves on being great democracies. From 1945 to 1991 peace prevailed across the world, not because capitalist countries have been peace-loving historically but because of the cold war. Ideologically the socialist countries were peace-loving but they believed in investing heavily in military and defence-technology development in order to keep peace. But after 1991 the contemporary world started seeing a new face of capitalism. In the last 12 years we have see more than 20 times the number of wars the world saw in the 45 years that preceded the fall of USSR. Violence breeds violence. So on the 11 th of the September 2001, the land of plenty got hit below the belt.
The collapse of the twin towers in America almost succeededin creating a world warlike situation. On the pretext of wiping out terrorism Afghanistan America bombed it to stone age. Of course Osama could not be caught. The empty warhead has now turned his sights on Iraq. The World War like situation is back.
Under the grab of democracy, the dictatorship of the new age cowboy leader and his gang of capitalist allies are continuously threatening world peace. It is indeed unfortunate that the act of September 11, terrorism took many lives, created warlike destruction and ended up becoming a dream attacks of spectacular proportions from the terrorist's point of view.
A new world order seems to be on its way up - where some innocent lives are more innooent than others (belonging to poorer countries). Some countries have a greater right to violate UN orders than others and some countries have a greater right to make nuclear weapons for their protection than others (in the name of world peace they also have a greater right to bomb others), specially if they are not a part of the deveped capitalist world. This new world order is that of Dictatorial Capitalism. Just when we started celebrating the near end of the dictatorial communism, we have a new and by all perceptions a worse problem facing humanity.
(Taken from : "The Great Indian Dream" by Malay Chaudhuri and Arindam Chaudhuri)

Monday, February 14, 2005

Apa Nilai Proton Kepada Orang Melayu

Apa nilai Proton kepada orang Melayu?

TUN DR. MAHATHIR: Saya pun orang Melayu juga. Jadi saya bangga kerana Proton berjaya. Sebabnya, masa saya kecil dahulu, sebagai orang Melayu pada masa itu, kita rasa hendak buat gores api pun rasa susah. Kalau kita buat pun, kita rasa satu batang pun sekurang-kurangnya sepuluh sen, begitu payah sekali pada pandangan kita hendak mengeluarkan sesuatu. Itu cuma gores api, tapi sekarang ini kita dapat buat kereta malah kapal terbang pun kita boleh buat. Kalau dulu kita rasa hendak buat gores api, kita kata buat apa? Beli sahajalah, tak payah susah-susah buat, kita akan jadi pengguna keluaran orang sampai bila-bila. Malah kita tidak mungkin ada duit hendak beli kerana itulah punca pendapatan kita. Kalau kita tutup Proton, berapa ramai yang awak rasa akan kehilangan kerja, termasuklah tanggungan mereka, tanggungan pembekal-pembekal dan tanggungan semua penjual? Kalau dikira betul-betul, ada lebih 300,000 orang yang terlibat mencari makan dengan Proton. Kalau kita tutup Proton, kita beli sahaja kereta asing, semua orang ini tidak ada kerja. Ramai jurutera yang Proton lahirkan bekerja di Perodua dan juga syarikat lain seperti Kumpulan Naza. Kita keluarkan banyak jurutera dan pereka bentuk yang dahulunya tidak pernah ada di negara ini. Jadi, sekarang majoriti adalah Melayu dan sangat berkebolehan.

Friday, January 14, 2005

Melayu oleh Usman Awang

Melayu oleh Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang 26 NOVEMBER 1999